Monday, March 9, 2009

Kenapa Orang Kita Suka Melatah?

Hi salam semua? Apa khabar? Diharap semua sihat sejahtera.

Melatah....nampaknya telah sebati dengan orang kita.Maksud saya kaum bumiputera.Orang melayu,orang kadazan-dusun,orang bajau di Sabah pandai melatah.Begitu juga dengan kaum bumiputera lain di semenanjung Malaysia maupun di Sarawak.

Kalau di majlis kenduri kahwin atau apa-apa saja keramaian, jangan hairan kalau terlihat seorang makcik terkinja-kinja dengan pelbagai aksi diikuti dengan kata-kata yang melucukan dan tidak kurang juga kata-kata yang agak kurang menyenangkan.Dan jangan hairan bila orang ramai pula asyik mentertawa dan mengusik si makcik yang melatah tadi hingga latahnya menjadi-jadi.

Masa saya kecil-kecil dulu saya selalu melihat makcik-makcik yang suka melatah. Macam-macam aksi macam-macam gaya.Saya sendiri suka mengusik orang yang kuat melatah ini hinggalah pada satu hari dimana terjadi satu hal yang pada anggapan saya sudah keterlaluan. Dan hal itu membuat saya benar-benar taubat dan saya berjanji pada diri sendiri untuk tidak mengusik orang-orang yang suka melatah ini.

Kisahnya begini....waktu itu saya dan beberapa rakan sekampung bergotong-royong membersihkan ladang kepunyaan seorang makcik yang kebetulan kuat melatah.Salah seorang rakan mengusik makcik itu dengan meletakkan sebiji batu besar dihadapan makcik tersebut dan dengan kuat menyergah makcik itu sambil berkata 'makcik,tajamkah parang tu cuba tetak batu ni?'.Makcik yang terkejut disergah rakan tadi dengan pantas mengambil parang yang baru dibelinya dan menetak batu besar itu hingga sumbing mata parangnya.

Tidak cukup dengan batu besar itu,rakan tadi memetik setangkai cilipadi dan melontarkannya kepada makcik yang masih melatah sambil berkata 'makcik,nah gula-gula'.Dalam keadaan melatah makcik itu mengambil cilipadi tersebut dan memakannya satu persatu dan berkata 'hmm gula-gula manisnya....manis'.

Melihat keadaan makcik itu saya merasa simpati.Tapi apa kan daya walaupun saya berusaha menahan makcik tersebut daripada memakan cilipadi yang disangkanya gula-gula itu,usaha saya tidak berhasil kerana beliau seolah-olah telah dirasuk dan tidak sedar apa yang beliau sedang lakukan.

Kenapa agaknya perkara sebegini boleh terjadi? Adakah ini salah satu bentuk penyakit mental? Atau mungkin penyakit saraf? Lebih menghairankan lagi penyakit melatah ini boleh berjangkit. Contohnya seorang yang tidak melatah tetapi suka mengusik orang yang kuat melatah akan turut melatah akhirnya.Hmm....mungkin para doktor diluar sana perlu buat kajian tentang ini.

Tapi kenapa hanya orang kita yang kuat melatah? Setahu saya bangsa lain seperti cina dan india tidak melatah.Begitu juga dengan orang-orang inggeris....saya rasa mereka juga tidak melatah. Pernahkah anda mendengar mat saleh melatah seperti orang melayu ...oh mak aku datuk engkau...(oh my mother your grandfather) ataupun ...oh pocot makan kuda... ( oh Pocot eating horse) ....hmm ... seumur hidup saya tak dengar lagi.

Adakah ini disebabkan pemakanan? Mungkinkah dalam diet kita terdapat kekurangan bahan tertentu menyebabkan mental agak lemah berbanding bangsa lain?.Mungkin disini ada kebenarannya.

Apa-apa pun bagi yang kuat melatah tu cuba-cubalah kawal.Berusahalah untuk kuatkan mental. Pesan dari seorang makcik yang tidak melatah ...banyakkan beristighafar....

Saya rasa pesan makcik tu benar.Sekurang-kurangnya kita tidaklah terus melatah sampai bersidang dibawah pokok.....hmm...@xyz??

Sampai sini saja dulu kali ini.Saya nak ke negeri Pasir Berdengung....nak jumpa dengan menteri pasola yang duduk bersidang bawah pokok pakai topi bomba.....ooopppsss melatahlah pula.

Wednesday, February 11, 2009

DUIT DUIT..... DIMANA KAU DUIT?.....DUIT DUIT

Hi salam semua,

Apa khabar? Sudah agak lama saya tidak menulis diruangan ini.Seperti juga anda semua, saya sibuk dengan tugas harian.Tugas apa ? .....anda mungkin bertanya.Yaa...apa lagi cari duit lah.

Kata orang duit bukan segala-galanya.Malah dulu-dulu orang takut cakap pasal duit, takut nanti kena cap mata duitan.Ada juga kata pepatah mat saleh yang mengatakan bahawa Money is the root of all evils.Hmn....ada-ada saja.Mungkin kerana dulu-dulu orang buat barter trade jadi tidak ada masalah duit.Tapi bila matawang mula diujudkan lahir pula bersama orang-orang tamak yang betul-betul gila duit.

Mak mentua saya pula kata kalau simpan duit terlampau banyak,diatas duit itu nanti akan duduk 1 hantu.Hantu ini pula akan buat kita jadi gila.Hahaha....ini lagi satu persepsi tentang duit yang ada pro dan kontra.Perlu diperhalusi apakah sebenarnya yang di maksudkan dan apa kah pengajaran yang ingin disampaikan.Tapi saya tak boleh bayangkan rupa hantu yang duduk atas duit itu.

Peribahasa orang yang terlibat dalam MLM atau multi-level marketing mengatakan Wang bukan segala-galanya tapi hampir segala-galanya memerlukan wang.Saya sangat setuju.Ada lagi pepatah orang MLM yang mengatakan bukan senang nak hidup senang, dan tak susah kalau nak hidup susah.Ini pun saya setuju.Pokok pangkalnya kita...nak yang senang atau yang susah.

Saya bukan orang MLM tapi saya ada ramai kawan yang terlibat dengan MLM.Bagi saya MLM ni maknanya meniaga larut malam.Apa tidaknya tiap-tiap hari orang MLM ni sembang bisnes dikedai-kedai kopi atau dihotel lepas kerja sampai lewat malam.Maklumlah dia buat kerja part-time.Siang kerja malam dia meniaga lah.Tapi bila kita dok pikiaq baguih juga depa meniaga larut malam ni....at least depa tak buang masa sia-sia.Tapi kena ingatlah meniaga apa...jangan meniaga benda gila-gila dah lah.

Agaknya kenapa orang sanggup kerja keras siang malam buat MLM ni? Dia kata kerja part-time walhal kalau dikira masa yang dia peruntukkan untuk buat bisnes ni hampir 24 jam dah jadi full swing time lak...Kerana apa lagi kalau bukan duit.Kita kerja cari duit kita berniaga pun sebab nak cari duit.Tak ada sebab lain duit duit duit.

Tak salah kita kerja keras cari duit.Yang penting kena cara dan gayanya.Jangan buat benda tak senonoh untuk dapat duit.Pastikan halal haramnya.Kalau jalannya haram,hasilnya pun haram. Kalau jalannya halal maka halallah hasilnya.Dan yang paling penting ada barakah.Halal dan berkat kata orang tua-tua.

Bagi saya bekerja mencari duit ini samada dengan mengambil upah atau makan gaji mahupun berniaga adalah satu jihad.Kerana kita berusaha untuk memperbaiki ekonomi diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.Lagipun banyak kebaikan yang kita perolehi bila kita ada duit. Bukan saja kita dapat memberi kemewahan kepada keluarga tetapi dapat menyumbang kepada masyarakat melalui pembayaran zakat contohnya.Kita juga dapat menghulurkan derma kepada mereka-mereka yang memerlukan.

Jadi pepatah mat saleh yang kata money is the root of all evils itu salah malah saya berpendapat bahawa kefakiran akan membawa kepada kekafiran jika iman didada tak cukup kental.Kenapa saya kata begitu...?

Cuba lihat di sekeliling kita, berapa ramaikah orang tak kira lelaki atau wanita yang terjebak atau terlibat dengan perkara tidak senonoh akibat desakan hidup.Malah ada orang yang sanggup mencuri kerana kelaparan.Bayangkanlah apa akan jadi bila anak-anak membesar dengan hasil curian.Sayugia diingatkan bahawa apa yang kita beri anak-anak kita makan, itulah yang akan membentuk hati mereka.Maka jika mereka diberi makan hasil curian, tak mustahil mereka akan membesar jadi pencuri...naudzubillahi min zalik.....

Kesimpulannya,jangan malu jangan segan...carilah duit sebanyak mana kita mahu asalkan kena cara kena gaya...dan di atas landasan yang betul kerana duit itu sebenarnya adalah..........

D = Doa
U = Usaha
I = Istiqamah
T = Tawakal

Hingga bertemu lagi.....................salaaaaaaammmmmmm.....




Sunday, January 25, 2009

Uji minda

Sekiranya anda tersesat didalam hutan tebal.....kemudian anda terjumpa sebuah rumah yang hanya ada satu pintu untuk masuk atau keluar.Anda mempunyai pilihan untuk masuk dan keluar seperti.......(a) Ular (b) Monyet (c) Harimau (d) Gajah

Yang mana satu kah pilihan anda.Adakah anda akan memilih untuk :-

(a) Masuk seperti ular dan keluar seperti monyet
(b) Masuk seperti monyet dan keluar seperti ular
(c) Masuk seperti ular dan keluar seperti harimau
(d) Masuk seperti harimau dan keluar seperti gajah

Anda boleh memilih kombinasi yang anda suka.Tapi kombinasi pilihan saya ialah :

masuk seperti harimau dan keluar seperti harimau

Hi,salam semua

Apa khabar ? Sempena cuti tahun baru cina ini apa kata kita main-main uji minda dulu.Kasi relax sikit supaya tidak tension.

Hari-hari kita kerja-kerja-kerja...........berdepan dengan bos yang marah-marah dan orang yang pelbagai ragam,terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas.Tengok berita di tv pun bikin tension perang sana perang sini,economic downturn,pengurangan pekerja......semua bikin tension.Jadi hari ini kita main-main dulu.

Bayangkan diri kita sedang berjalan-jalan di sebuah taman yang indah.Dipenuhi dengan bunga-bungaan pelbagai warna dan air terjun yang dingin,mengalir deras ke kolam yang di hiasi dengan ikan-ikan emas yang berkilauan.Terpukau dengan keindahan taman dan kehijauan pepohonan yang rendang,tanpa disedari kita melangkah semakin jauh ke dalam hutan.

Kita terus melangkah dan melangkah sambil menghirup udara segar.Lapang rasa didada.Tiba-tiba.....waduh....aku kok sudah terlalu jauh berjalan ya.Nda sedar rupanya aku di hutan belantara ni.Gimana ni....sudah hampir malam...dimana mau nginap ?.....Wahhh....syukur.... ada pondok di depan.Punya siapa yaa.....nenek kebayan kali yaa....

Salam alaikummmmm.......siapa didalam ? saya di luar.....
Walaikum salam.Ya aku tau lah bodoh kamu diluar.Mau apa kamu kemari?
Maaf nek....saya mau tumpang nginap.....malam ini saja....boleh nda nek ?
Boleh ya boleh lah tapi......
Waduh...kok pakai tapi-tapi segala nek.....
Aku punya rumah aku punya tau lah.Mau tumpang nda....kebanyakan ngomong!!
Maaf nek maaf.Ya memang mau tumpang lah nek tapi saya harus bagaimana ya?
Nah gitu dong.....untuk masuk ke rumah ini kamu harus memilih untuk masuk seperti apa....ular kek...monyet kek....harimau kek....atau gajah
Lohh...tapi saya kan manusia nek....
Keluar juga gitu....harus memilih untuk keluar seperti apa...ular kek...monyet kek....harimau kek....atau gajah
Yaa...baiklah....saya fikir dulu
Berfikir terlalu lama bererti kamu melambat-lambatkan usaha.Bisa saja peluang didepan mata terlepas begitu saja.Ayo...cepat buat pilihan mengikut naluri kemanusiaan kamu.Kamu mau jadi seperti apa?

Ular....sukanya membelit lantas membunuh...bererti penuh dengan tipu muslihat...putar alam.Nda mau ahh jadi ular.Monyet....sukanya ngacau...lompat sana lompat sini....nampak ini mau...nampak itu mau...eehhh...nda fokus lagi.Nda suka ahh...gajah...wahh...lumayan... besar dan kuat...tapi... yaaa...sama tikus saja kok takut.....harimau....yaa itu raja di rimba... seperti juga singa.Boleh mencengkam bila ada musuh menyerang...malah suaranya saja sudah cukup seram....harimau juga tidak sebuas yang dikhabarkan orang.Malah selalu bertindak bijak dan tidak mengganggu binatang lain apa lagi kalau sedang kenyang kecuali dia diganggu baru dia nyerang.....Nekk...saya pilih jadi harimau nek....masuk harimau keluar juga harimau nek....
Bijak....bijak....



Saturday, January 17, 2009

Siapa boikot siapa?

Salam semua,

Disana-sini hangat diperkatakan isu keganasan Israel di Palestin.Setiap hari akhbar-akhbar utama menyiarkan gambar-gambar pembunuhan ngeri rakyat Palestin di muka hadapan.Semua ini untuk mengingatkan kita betapa kejamnya Israel terhadap rakyat Palestin.

Disana-sini juga hangat diadakan demonstrasi sebagai tanda protes terhadap keganasan Israel ini.Berbagai kutukan di lemparkan kepada Israel tidak kurang pula yang memijak-mijak dan membakar bendera Israel.Ini diikuti pula dengan kempen boikot barangan keluaran Amerika-Israel.

Di Malaysia juga tidak ketinggalan.Perhimpunan diadakan,laungan anti-Israel di suarakan.Sambil memekik menjerit kempen boikot barangan keluaran Amerika-Israel juga di buat.Senarai barangan Amerika Israel di sebarkan kepada orang ramai.Dengan harapan agar orang ramai tahu dan sama-sama menjayakan kempen boikot Amerika Israel ini.

"Jangan beli coca-cola....jangan beli KFC....jangan beli barangan keluaran Amerika-Israel....bla...bla...bla...." Semua ini kedengaran di sana-sini.Apakah kesan dari kempen ini?

Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan kempen ini.Masih banyak cara lain yang lebih berkesan boleh kita ambil untuk membantu rakyat Palestin yang menderita.Contohnya menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan seperti yang dilakukan oleh Mercy dan Aman Malaysia.

Bila kita kata boikot barangan keluaran Amerika Israel seperti minuman ringan,makanan segera atau bahan-bahan pencuci dan sebagainya bermakna kita memboikot syarikat-syarikat yang mengeluarkan barangan tersebut.Syarikat-syarikat ini pula telah membuat pelaburan yang banyak untuk mendirikan kilang-kilang bagi mengeluarkan produk-produk tersebut di Malaysia.

Sebahagian besar saham-saham dan equiti syarikat pula di pegang oleh orang Malaysia sendiri dan sebahagian besar daripada pekerja-pekerja kilang dan outlet-outlet syarikat-syarikat tersebut juga terdiri daripada rakyat Malaysia yang menjawat pelbagai jawatan dari yang setinggi-tingginya hinggalah yang serendah-rendahnya.Cuba kita lihat outlet-outlet restoran francais Amerika yang bersepah di seluruh Malaysia.Boleh dikatakan seratus peratus bilangan pekerja daripada pengurus sehinggalah kitchen crew terdiri daripada rakyat Malaysia.Begitu juga dengan kilang-kilang.Jadi siapa boikot siapa?

Dengan memboikot syarikat-syarikat atau kilang-kilang yang dianggap sebagai talibarut Amerika-Israel ini bermakna kita secara tidak langsung menghalau mereka keluar daripada
negara kita dan juga bermakna kita menutup periuk nasi sendiri.

Kenapa saya kata menutup periuk nasi sendiri..? Kenapa tidak?...mula-mula kita berhenti membeli barangan keluaran syarikat atau kilang yang kita anggap sebagai talibarut Amerika-Israel.Kesannya pendapatan syarikat atau kilang ini berkurangan.Bila pendapatan kurang kos operasi juga perlu dikurangkan.Salah satu cara ialah mengurangkan bilangan pekerja.Siapakah yang akan kehilangan pekerjaan?

Kenaikan harga petrol baru-baru ini membuat kita melenting tak sudah kerana ia menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan lain.Cuba bayangkan bagaimana reaksi kita bila kehilangan pekerjaan hilang punca pendapatan,anak isteri dirumah tak makan.....apa kah kita layak mengadu pada kerajaan? Minta bantuan....walhal niat asal kita nak beri bantuan pada rakyat Palestin.Tapi akhirnya kita sendiri yang gigit jari.

Kalau kita lihat sejarah,rakyat Israel sebenarnya telah dihalau dari bumi asal mereka Palestin sejak zaman Nabi Musa a.s. lagi.Dan mereka juga telah melalui zaman penindasan yang amat getir di zaman pemerintahan Hitler.

Saya bukan membela Israel,saya sama seperti anda semua bencikan kekejaman cintakan kedamaian.Apa yang ingin saya utarakan disini ialah bagaimana Israel yang suatu ketika dulu cuba dihapuskan mampu bangkit semula malah mampu menguasai dunia.

Mengikut statistik,rakyat Israel di seluruh dunia bilangannya terlalu kecil tidak sampai separuh rakyat Malaysia iaitu dalam lingkungan 13 juta orang.Tetapi kekuatan minda mereka begitu hebat hingga mampu menguasai Amerika hatta menguasai dunia.Dengan kekuatan minda mereka telah mendidik dan memajukan bangsa mereka menjadi peneraju utama semua bidang penting dalam ekonomi dunia termasuklah bidang sains dan ketenteraan.

Apakah kita mampu mengalahkan kumpulan orang yang mempunyai kualiti minda yang tinggi dengan hanya berhenti makan KFC? berhenti minum Coca-Cola?.....atau dengan membaling batu seperti yang dilakukan oleh anak-anak Palestin?

Kita harus lebih bijak menangani masalah.Boikot memboikot...? kesannya lebih kepada kita dan ekonomi negara.Janganlah kita terlalu cepat melatah marahkan nyamuk kelambu dibakar.Fikir-fikirkan lah....

Thursday, January 8, 2009

Navigator minda

Hi,salam semua.

Sudah agak lama saya tidak mengemas kini laman ini.Bukan apa,saya kesuntukan masa.Terlalu banyak yang perlu diselesaikan.Apa-apa pun hari ini terbuka pula hati untuk menulis sekilas pandang tentang tajuk di atas.

NAVIGATOR MINDA - EMPAYAR MINDA MELAYU ALAF BARU.Begitulah tajuk buku yang saya baca baru-baru ini.Buku ini di tulis oleh salah seorang jutawan IT di Malaysia yang bernama Prof Dato' Dr Zubir Hj Yahya.

Saya bukan hendak promosi buku.Hanya sekadar berkongsi dengan anda apa yang telah saya baca.Buku ini memang sangat elok di baca oleh kita semua kerana ia benar-benar membuka minda kita.

Di awal muqadimah buku ini penulis telah menulis begini...(saya pinjam sedikit tulisan beliau untuk kita renungkan bersama)...." manusia adalah makhluk paling istimewa yang dicipta oleh Allah SWT.Didalam diri manusia telah disembunyikan satu sifat khas bernama MINDA.Akal yang dikurniakan olah Allah SWT menjadi sunnah dan tabiat semula jadi manusia untuk mencari jalan menerokai kuasa induk minda demi kebaikan serta kesejahteraan hidup di dunia".

Kenapa Navigator Minda? Sengaja saya pilih tajuk ini sebagai kesinambungan daripada coretan sekilas pandang saya di laman lalu sempena maal hijrah dimana saya menyarankan agar kita membuat penghijrahan minda.

Penghijrahan minda ini sangat penting lebih-lebih lagi dewasa ini......zaman yang penuh dengan cabaran tekanan dan dilema yang banyak melibatkan bangsa melayu dan islam.Melayu meliputi semua bangsa peribumi Malaysia khasnya dan seluruh nusantara amnya.

Kebanyakan bangsa melayu dan umat islam hidup dalam belenggu kemiskinan seperti yang kita lihat di serata dunia sekarang ini.Kalau dulu islam pernah mencapai status kecemerlangan semasa zaman kegemilangan The Golden Era of Islam,tetapi kini islam dianggap sebagai agama pengganas.Malahan gelaran terrorist kini menjadi terlalu sinonim dengan islam.Bangsa melayu pula dicap sebagai kaum yang tidak pandai berfikir dan guaranteed business failure walaupun ada subsidi serta hanya layak untuk kerja yang mempunyai skim pencen (pension scheme society).

Gelaran-gelaran ini sangat mengaibkan bangsa kita.Ia perlu di hapuskan dan maruah bangsa dan agama kita perlu ditegakkan.Tapi bagaimana?

Mudah saja.Setiap dari kita perlu menilai diri berpaksikan keyakinan dan keimanan dalam diri masing-masing.

Kita mulakan dari sudut bangsa melayu dalam perniagaan dahulu.Kita cari punca kenapa terlalu kurang pemimpin melayu yang menguasai bidang perniagaan sedangkan graduan melayu dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari universiti tempatan dan luar negara begitu ramai? Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada diantara graduan jurusan perniagaan ini yang buta huruf dengan konsep perniagaan dan sanggup menganggur atau bekerja sebagai kitchen crew di restoran francais luar negara.Glamour lah tu.

Bangsa melayu telah terlalu lama dijajah.Malah sehingga ke hari ini walaupun kita telah menikmati kemerdekaan selama 50 tahun,hakikatnya minda kita masih dijajah.Pihak penjajah telah sekian lama memprogramkan cara bangsa melayu berfikir sehingga kita merasa bahawa melayu itu lemah,melayu itu mundur.Dan apa yang amat menyedihkan sekali ialah kita sebagai bangsa melayu menerima bulat-bulat apa yang telah diprogramkan itu.Malah kita sendiri mempermainkan bangsa kita dengan simpulan bahasa janji melayu.Kita sendiri mengaku bahawa melayu itu terlalu lemah sehingga tidak mampu untuk menepati janji.

Kita akui melayu kini semakin sedar namun dalam sedar itu masih terlalu banyak kealpaan hingga terlupa akan tanggungjawap terhadap diri sendiri.

Kebanyakan kita bila gagal dalam sesuatu perkara jarang sekali membuat post-mortem dan bertanya pada diri sendiri 'kenapa aku gagal?'.Dan seringkali kita mendengar bangsa kita mengeluh dan menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri.Sasaran utama tentulah kerajaan yang sepatutnya memberi bantuan......?@xx?.Pendapat saya,selagi kita asyik menyalahkan orang lain atas kegagalan kita selagi itu kita tidak akan dapat memperbaiki diri kerana kita tidak melihat dimana salah dan kesilapan kita.

Seperti kata pepatah cina yang antara lain bermaksud ...Jika kita hendak mengisi sebuah cawan dengan air sedangkan cawan itu telah penuh,maka air yang kita isi akan tumpah.Maka kita perlu kosongkan cawan itu dahulu.Ertinya kita kena delete kan apa yang telah diprogramkan oleh penjajah dalam minda kita dan isikan minda kita dengan program aplikasi baru yang akan menyerlahkan kehebatan kita.

Tugas kita sekarang adalah untuk mencari dimanakah virus yang diprogramkan oleh penjajah ini tersembunyi didalam software Minda Melayu? Dan tanggungjawap kita untuk mencipta antivirus yang berkesan untuk membasmi virus kemiskinan sekaligus mengenalpasti kesilapan Mother-board malfunction didalam sistem minda bangsa melayu?

Sama-samalah kita perjuangkan.Hingga bertemu di lain laman......wasalam.







Sunday, December 28, 2008

Salam Maal Hijra 1430

Hi,salam semua.

Kita semua tahu yang hari ini tahun baru hijrah 1430 dan di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah.Semoga kita semua beroleh keberkatan rahmat dan hidayah dari Allah swt.Amin.

Kita semua juga tahu bahawa kebiasaannya menjelang tahun baru kita buat azam baru.Kenapa ya? Tahun baru - azam baru.

Hari ini saya nak minta khidmat nasihat la pula,sempena tahun baru ni.Sebabnya saya ni tak tahu kenapa perlu buat azam baru.Lagi satu sebab dan merupakan sebab yang paling utama tapi malu sikit nak cakap tapi terpaksalah juga cakap......ehemm.....saya ni azam lama pun tak tercapai lagi.....huaaaahaha

Jadi tahun ni saya berazam untuk mencapai azam lama yang masih tergantung tu.

Kata orang setiap kali bila tiba tahun baru hijrah kita pun kena hijrah sama.Tapi saya ni masih duk tang tu juga tak hijrah lagi.Ish....liat sungguh.

Tapi bila kata hijrah tu rasa saya lah apa yang di maksudkan itu tak semestinya pindah rumah atau pindah kampung, kan? Betul kah? Saya tak berapa tahu sebab saya ni orang tak tahu tapi nak sangat tahu.

Rasa saya lah bila orang kata hijrah ni kita kena hijrahkan kita punya minda.Jadi hijrah ni tak semestinya setiap satu tahun, tiap-tiap hari kita kena hijrahkan minda atau kata orang sekarang transformasi minda.

Saya dengar seorang ustaz tu kata definisi hijrah itu ialah meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT.Maka hijrah ini kena berlaku setiap hari seperti mana yang ditegaskan oleh Abu Bakar As-Siddiq "kecelakaanlah bagi seseorang yang hari ini sama seperti semalam dan esok sama seperti hari ini".Jadi kita tak boleh pasif kita kena berusaha untuk berubah dan berhijrah dari kebiasaan kita.Itu ustaz yang kata bukan saya kata saya tulis saja.

Tapi kalau nak berubah atau berhijrah tu berhijrahlah kepada yang lebih baik.Jangan pula dulu kita kerja jual pisang goreng dapat hasil sikit rasa tak puas.Nak berhijrah kepada kehidupan yang lebih selesa kita pi buat investment dekat kedai nombor beli ekor.Kalau beli ekor kerbau ka lembu ka buat sup tak apa juga boleh makan satu keluarga.Tapi beli nombor ekor alamat hampa,habuk pun tak ada.Jadi hijrah itu biarlah kena cara.Berhijrah daripada yang tak baik kepada yang baik,daripada yang baik kepada yang lebih baik,daripada yang lebih baik kepada yang terbaik.Macam budak2 AF kata......saya akan buat yang terbaik.

Apa-apa pun kita semua sama2 lah berhijrah.Saya nak hijrahkan minda saya daripada tak tahu kepada tahu...lebih tahu....seterusnya serbatahu.Tapi saya tak mahu lah tumbuh janggut macam Prof Serbatahu tu.Hehehe.

Sampai jumpa lagi SALAM HIJRAH BUAT SEMUA.Wasalam

 


Saturday, December 27, 2008

panahan mata kabur-kabur

Hi salam semua,ini sambungan dari posting mula2 tadi.

Kategori Ketiga - Orang yang tak tahu dan dia tahu bahawa dia tak tahu

Ini kategori orang yang innocent and humble macam saya.Ehemm...puji sikit.Orang dalam kategori ini kalau kena cara dan gayanya boleh jadi lebih hebat drpd prof serbatahu tu.Sebab orang ni dia tak tahu dan dia tahu bahawa dia tak tahu jadi dia ambil tahu supaya dia tahu.Tapi ingat JANGAN AMBIL TAHU APA YANG TAK PATUT KITA TAHU.Lebam bijik mata kang....wuakaka

Kategori keempat - Orang yang tak tahu dan dia tak tahu bahawa dia tak tahu

Ini PARAH.Agaknya orang ni terlalu banyak makan tahu sebab tu dia perasan yang dia tahu walhal dia tak tahu dan dia tak tahu lak yang dia tu tak tahu.Ish ish ish.....kesian.

Anyway,tujuan laman blog ini dicipta adalah untuk menjemput anda semua memberitahu kepada pembaca apa2 yang anda tahu supaya orang2 yang tak tahu tapi nak tahu macam saya boleh tahu.Anda bolehlah berkongsi idea,pendapat,pandangan dan saranan tentang apa saja perkara samada isu2 semasa,ekonomi,sosial atau keagamaan.apa2 je laa....janji bukan cerita politik panas atau cerita yang ala-ala "PANAS" buat orang steam gitu.

Anda juga boleh berkongsi pengalaman anda sewaktu melancong ke tempat2 menarik mahupun pengalaman semasa menunaikan fardhu haji.Yang penting anda kasi tahu lah apa2 yang anda semua tahu supaya kita sama2 tahu.

Akhir kata saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 yang akan tiba tidak lama lagi.Sama2 lah kita membuat azam baru mencari tahu perkara2 yang kita belum tahu supaya kita jadi serbatahu.Tapi sekali lagi diingatkan AMBIL TAHU APA2 YANG KITA PATUT TAHU SAHAJA.Insya Allah di lain masa kita bincang pula apa yang patut dan tak patut.Wasalam.