Sunday, May 31, 2009

Duit Punya Pasal

Dunia semakin tua.Manusia semakin rakus.Mengejar kebendaan dan kemewahan hingga sanggup mengenepikan sifat kemanusiaan.Sanggup memperlakukan sesama manusia seperti haiwan.Apa sudah jadi?

Assalammu alaikum dan salam sejahtera,

Tak habis-habis kisah ah long.Pihak polis dan kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada orang ramai supaya menjauhi ah long.Bank-bank diarah menyediakan pakej-pakej pinjaman peribadi dengan kadar faedah yang rendah supaya orang ramai tidak meminjam wang daripada ah long. Tetapi nasihat dan peringatan itu tidak diambil endah.Masih ramai yang terus berurusan dengan ah long.

Kebanyakan memberi alasan sukar mendapat pinjaman bank,tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan bank dan berbagai alasan lagi.Untuk mengatasi masalah ini kerajaan telah mengujudkan berbagai jenis skim pinjaman antaranya skim pinjaman ASB,skim pinjaman perniagaan untuk siswazah,untuk wanita,untuk belia,skim pinjaman pertanian,perumahan dan macam-macam lagi sehingga bila saya amat-amati pihak kerajaan sebenarnya telah menyediakan "syurga" untuk rakyat.Apa yang perlu dibuat hanyalah menghayun langkah yang betul dan membuka pintu "syurga" tersebut.

Kenapa perlu berhutang?

Almarhum ibu saya selalu berpesan "Biarlah kita tiada wang asalkan kita tiada hutang".

Memang adakalanya kita PERLU berhutang,contohnya untuk membeli sebuah rumah.Takkan nak tunggu cukup duit baru beli rumah secara tunai kan? Rasanya agak mustahil juga untuk orang berpendapatan rendah seperti saya untuk membeli rumah atau kereta secara tunai.Apa lagi dizaman ini harga rumah di bandar tak kurang ratusan ribu ringgit,kereta kancil saja pun mencecah puluhan ribu ringgit.Tentulah mengambil masa yang panjang untuk mengumpul wang sebanyak itu.

Maka dalam konteks ini berhutang itu tidak salah.Apa yang penting adalah kebijaksanaan kita dalam mengurus pendapatan dan mengurus hutang.Kata orang tua-tua Ukur baju dibadan sendiri.Bila kita hendak membeli sesuatu pastikan kita mampu dan kita benar-benar perlukan benda itu.Dalam soal membeli rumah misalnya keperluan itu memang ada.Tapi tanyalah dulu diri kita rumah kategori mana yang kita mampu.Janganlah kerana kawan kita duduk rumah banglo mewah kita pun nak duduk rumah banglo mewah juga semata-mata nak jaga status sedangkan kemampuan kita hanya setakat rumah teres.

Kalau kita nak buat pinjaman perniagaan misalnya,pastikan dulu perniagaan jenis apa.Kaji dulu pasaranya dan buat perancangan yang teliti.Mulakan selangkah demi selangkah.Janganlah main terjun saja padahal masih tak tahu berenang dan akhirnya terkapai-kapai.Syukurlah kalau ada yang memberi pertolongan kalau tidak bukankah akan mati kelemasan.

Hasil pengamatan saya sehari-hari kebanyakan orang yang meminjam dengan ah long ini adalah orang-orang yang terlibat dengan perjudian ataupun orang-orang yang berpegang kuat pada pepatah Biar papa asal bergaya.

Si kaki judi biasalah hutang sudah keliling pinggang,anak bini tak makan tapi masih tak serik-serik untuk berjudi."ini last aku main ni lepas ni aku berhentilah,aku rasa nasip aku baik hari ini mesti menang besar punya...." atau "ini nombor cantik punya,kasi pau sama dia mesti ada sangkut punya...." Hakikatnya kantoi....

Seorang rakan saya berkelulusan ijazah jurusan perniagaan,pernah berkhidmat sebagai pegawai perakaunan di sebuah bank terkemuka di bandaraya.Beliau seorang wanita yang cantik bergaya. Bila ditawarkan untuk VSS dia terima dengan hati terbuka malah gembira menerima pampasan hampir RM200,000.00

Beliau mengambil langkah positif dengan menceburkan diri dalam perniagaan restoran.Tahun pertama buka satu buah restoran.Ubahsuai cantik-cantik kelas gitu.Saya pun buka restoran juga 5 tahun lebih awal dari beliau tapi cuma restoran kelas tiga - kedai kopi la tu.Tahun kedua buka satu cawangan restoran kelas gitu.... selang enam bulan buka satu cawangan lagi....dalam masa yang sama beli kereta mewah Ninja King.


Amboi....jealous saya dibuatnya.Mana taknya saya mula-mula berniaga kereta tak ada.Saya jalan kaki ke pasar mujur dekat dengan tempat saya berniaga.Lepas beli barang panggil teksi angkat.Lepas dua tahun baru beli kereta second hand,itu pun ikut tender kereta terpakai yang kerajaan nak dispose.Tahun pertama berniaga saya buka Gerai Nasi Campur.Tahun ketiga baru buka Restoran Kelas Tiga sampaiiii laa nii.....Tahun keempat berniaga barulah dapat beli kereta Brand New tapi Kancil ex850 saja noo....

Tahun ketiga kawan saya buka satu lagi cawangan....amboi amboi tiga tahun meniaga sudah ada empat cawangan...hebat sungguh noo...Satu hari saya jumpa kawan saya dalam bank,dia pun ceritalah bisnes dia meletup-letup..." I terpaksa ambil pekerja dari Indonesia,bayar levi saja I kena bayar imigresen Rm100,000.00 setahun...." Ternganga saya mendengarnya.Tak lama kemudian tup tup meletup saya dengar cerita kawan saya ni kena kejar ah long.Mulanya saya tak percaya.Dia kan pernah kerja bank,kawan lama dia masih ramai dekat bank senang-senang dia boleh pinjam,takkan dia nak pinjam dengan ah long.

Tapi khabar angin dah jadi nyata,dia lari entah kemana,restoran dia pun tutup semua.Sebagai kawan saya harap dia selamatlah.